Ahad, 17 Ogos 2008

Manisnya IMAN...

Alhamdulillahi rabbil 'Alamiin....

Sekali lagi kita bertemu di ruangan maya ini.

Marilah kita sama-sama rafa'kan kedua tangan kita dengan penuh ketawadhukan kepada-NYA yang sentiasa memberikan apa jua kepada kita tanpa jemu, tanpa ungkit, penuh dengan belas ihsan dan tidak pernah lengah dengan kasih dan sayang kepada semua makhlukNya.

Saudara...

Sungguh! ALLAH itu Maha Pengasih & lagi Maha Penyayang. Untuk hal ini, kita sebagai makhlukNYA tidak perlu lagi berbasa-basi mempersoalkan sifat KesempurnaanNya ini. Sememangnya IA Maha Pengasih. Semestinya juga DIA itu Maha Penyayang.

Rahmah dan Rahim-Nya juga bukan hanya terhad cuma kepada kita - manusia. Malah meliputi kesemua makhluk ciptaan-Nya. Semuanya merasai dan mengakui kasih dan sayang-NYA yang tidak pernah sirna dan tidak berbelah bagi.

Saudara...

Kita sebagai manusia; makhlukNya yang paling sempurna dari segi penciptaan, wajib pula merasakan, menginsafi dan menyedari tuntutan disebalik Kasih & Sayang ALLAH ini. Apa tidaknya; lihat saja dari segi fizikal - Andalah yang tercantik, terindah, segak, teratur dan kemas berbanding yang lain. Anda juga dibekali dengan nafsu samada keinginan yang baik mahupun sebaliknya. Bahkan, Anda juga diberikan Aqal untuk berfikir, mengatur keinginan nafsu, malah boleh membezakan mana yang Haq dan mana yang Bathil.

Ya memang! Memang kita dijadikan ALLAH dari unsur kejadian tanah. Kerana, memang kita disediakan untuk menjadi khalifah dibumi ini. Kitalah yang berjuang membanting tulang, menguras tenaga, bermandikan peluh dan keringat malah berair mata darah untuk memakmurkan, memajukan, mengimarah, membangun peradaban, membentuk kitaran kehidupan kemanusiaan dan sebagainya.

Tapi, ini semuanya harus disedari sebagai TANGGUNGJAWAB kita kepada-NYA semata-mata. Hidup ini akan terasa riang, ramai, gembira sekiranya kita meletakkan / menjadikan hidup di dunia ini sebagai ruang IBADAH dan tempat untuk 'mengenang jasa' ALLAH kepada kita.

Saudara....

Manisnya IMAN itu dapat kita rasai apabila kita benar-benar KENAL & Mencintai ALLAH sebagai sumber segala-galanya. Sebenarnya untuk merasai betul, benar dan mendalamnya IMAN tidaklah perlu sampai ijazah bergulung-gulung. Atau dalam ertikata mempelajarinya tentang IMAN tidaklah perlu sampai bertahun-tahun dengan sekian-sekian guru, syeikh, professor dll baru dapat IMAN yang manis dan mantap.

Pokoknya adalah percaya dan meyakini dengan sesungguhnya akan rukun-rukun IMAN itu. Lebih istimewa Percaya dan yakin dengan mantap akan ALLAH. Percaya dan yakin di dalam hati, kemudian diklair / istihar keyakinan tersebut kepada semua dan mesti dibuktikan keyakinan itu dengan amal yang telah digarisbawahi oleh ISLAM (dalam rukun ISLAM).

Saudara....

Orang yang percaya dan yakin dengan mantap, dalam hatinya tidak akan ada antara dua. Hatinya tidak akan ragu, was-was atau waham. Orang yang yaQin dengan ALLAH (beriman / mukmin), hatinya kuat, kebal dan mantap. Tidak mudah dibawa arus. Tidak mudah meliuk melentuk di tiup bayu. Orang yang beriman bukan seperti layang-layang yang putus talinya.

Sementara, kalau orang ini beriman; ia tidak akan sangsi memberikan bukti IMANnya dihadapan ALLAH yang menciptakannya. Kalau ia benar-benar yaQin dengan ALLAH ia semestinya menjadi 'hamba' yang taat, yang patuh, tahu diri, insaf, tawadhu, rendah hati dengan ALLAH.

( Alangkah indahnya andai hamba diizinkan oleh ALLAH untuk dapat mengungkapkannya dengan kata-kata mudah dan senang untuk saudara-saudaraku fahami... InsyaALLAH bertemu lagi dilembaran baru )

*** ANAK KUNCI : ISLAM + IMAN + IHSAN =
TAQWA / IBAADUR RAHMAAN ***


 0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home