Jumaat, 29 Ogos 2008

Renungan Perjalanan hidup...

Assalamu'alaikum wtb...
Sesungguhnya perjalanan hidup ini penuh dengan cabaran. Orang kata pula, hidup ini tidak sempurna tanpa asam manis yang perlu ditempuhi saban waktu. Sememangnya, hidup ini ALLAH jadikan memang begitulah sunnahnya. Mati dan hidup ini adalah ujian yang wajib ditempuh semua makhluk, dan istimewanya manusia yang diberikan taklif hidup yang khusus.
Dalam surah Al-Mulk ayat yang pertama, ALLAH menyebut bahawa DIA menjadikan 'mati' dan 'hidup' ini adalah bertujuan untuk menguji siapakah yang terbaik dari segi amalannya. Apa hikmahnya ini semua? Dan dengan apa kita semua harus telusuri khidupan ini dengan sukses?
ALLA menyebut 'mati' dulu barulah digandingkan selepas itu akan 'kehidupan'. Hikmah dan kenyataannya memang jelas! Semua makhluk yang hidup/bernafas dijadikan asalnya adalah dari tiada kepada ada. Ini memang benar. Manusia sebelum lahir ke alam dunia ini pun daripada tiada / tidak diketahui. Tetapi hakikatnya menurut ilmu ALLAH adalah memang sudah ada. Tetang hal ini saya tidak ingin membahaskannya secara mendalam, cukup sekadar sebagai renungan kita semua.
Setelah diberikan ALLAH nyawa (selepas 120 hari didalam kandungan), maka barulah dikatakan sesuatu itu hidup. Sehingga ia lahir ke alam ini dan membesar, tumbuh dan matang mengikut aturan yang ditetapkan ALLAH. Maka wujudnya kita (khususnya manusia yang diberikan taklif) disertai dengan ujian demi ujian. Apatah lagi setelah baligh dan mampu memikul taklif yang dipertanggungjawabkan-NYA.
Justeru, kita lahir dengan naluri fitrah dan bersih daripada pelbagai kepercayaan yang karut marut. Sejalan dengan itu juga, ALLAH membekalkan kita dengan telinga( as-sam'ah), mata (al-basor) dan akal (al-af idah) sebagai asas pancaindera terpenting. Dan, ALLAH mengingatkan agar kita semua mensyukuri nikmat besar ini. Telinga untuk mendengar. Mata untuk melihat. Akal atau minda untuk berfikir.
Apa rahsia ALLAH sebut dengan susunan indera sedemikian? Sesungguhnya inilah tanda kebesaran ALLAH dalam diri kita. Setelah lahir, indera yang terawal berfungsi adalah telinga. Kerana itu, sang bayi menangis bilamana terdengar suara bundanya. Setelah lewat sebulan lebih, maka matanya menyusul berfungsi. Selang berganti masa, sekitar 3 tahun barulah sang anak mula mahir dengan hidupnya. Bila ia mendengar dan mula melihat, akal dan hatinya pun mula tersentuh dan sedikit demi sedikit membentuk kematangannya. Inilah sunnahtullah manusia lewat proses pembelajaran alami.
Saudara-saudara, hidup ini tersangat indah untuk dirunuti andai kita memahami kehendak-NYA melalui aturan penciptaan yang azali.
Dalam hidup beragama, ALLAH telah bekali kita semua dengan indera asas untuk meneguk buah kebaikan dan hikmah abadi kehidupan. Dengan telinga yang kita gunakan untuk mendengarkan ayat-ayatnya; mata digunakan untuk merenung, mengkaji dan melihat kebenaran; dan akal / fuad kita pergunakan untuk merasakan, memikirkan, mendalami dan akhirnya membiaskan buktinya dengan amalan, keyakinan dan pegangan yang terkukuh.
ALLAH telah menunjuk dua bentuk jalan Kehidupan ( wa hadainaahun najdain ) melalui RasulNYA. Maka, kalau kita termasuk yang bersyukur dan menggunakan anugerah ALLAH berupa indera itu untuk menggapai jalanNYA yang lurus, kita akan dituntunNYA kepadanya jua. Ingatlah! Hidup ini harus sukses. Bukan sahaja sukses untuk dunianya, malah lebih-lebih lagi untuk kehidupan akhiratnya nanti. Hasanah fiddunya wa hasanah fil aakhirah.
Salam keamanan untuk seluruh Ummat Muhammad. Ameen ya Rabbal 'aalamin.
Wallahu waliyyut taufiq.
WASSALAM

 0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home