Khamis, 22 Oktober 2009

Melentur Hati...

Iqra: Tasauf didik manusia berhati luhur, hayati keindahan Islam

TIGA sendi agama yang sepatutnya dikuasai semua Muslimin selain tauhid dan fekah ialah tasauf. Malangnya, kita lebih tertumpu untuk mempelajari tauhid bagi mengenal Allah, manakala soal peribadatan kepada Allah dan hubungan dengan manusia melalui fekah.

Tasauf yang membabitkan soal hati dan jiwa dalam hubungan dengan Allah dan manusia seolah-olah dipinggirkan. Ramai yang bimbang untuk mempelajari dan memahami ilmu tasauf atas pelbagai persoalan, bermula daripada kurangnya pengetahuan mengenai bidang berkenaan selain penyebaran meluas penyelewengan yang dilakukan kumpulan tertentu, melalui media terutama membabitkan amalan tarikat.

Melalui buku soal jawab tasauf yang dihasilkan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kita dapat menyelami pengertian, faedah mempelajari ilmu tasauf, selain persoalan mengenai tarikat, isu syeikh dan rabitah, selain salah faham mengenai tasauf.

Menurut Zulkifli, tasauf adalah ilmu yang membawa kepada penghayatan zahir batin syariat Islam yang bersumber kepada al-Quran, Sunnah, kehidupan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin.

Ia mengajar manusia bagaimana cara untuk membersihkan jiwanya daripada sifat dan tabiat buruk.

Pengarang turut menjelaskan mengenai dakwaan tasauf Islam diceduk daripada sumber falsafah asing seperti Yunani dan Rom dengan memetik pandangan Dr Abu al Wafa al Ghanimi al Taftazani.

Dalam pada itu, tokoh sufi terkemuka seperti Syeikh Kadir Jailani dan Imam Ghazali turut diberi penjelasan lanjut.

Seperti kata pengarang, buku ini perlu dimiliki kerana membincangkan persoalan mengenai tasauf disertai jawapan jelas dan padat dengan dalil al-Quran, hadis, para sahabat dan syeikh tasauf terkenal.

Bagi mereka yang ingin mengenali dunia tasauf dan memahami salah faham tasauf dalam masyarakat moden, buku ini amat sesuai untuk dibaca.

 0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home