Khamis, 22 Oktober 2009

Berita Terkini 'Rasul Melayu'....

Masih ingat dengan Abdul Kahar Bin Ahmad 'Rasul Melayu' tu?

Berikut perkembangan semasa 'Rasul Melayu' tersebut yang dipetik melalui web berita utusan online. Sila lihat berita 1 , berita 2 , berita 3 dan berita 4 ini untuk lebih lanjut.


BERITA 1

Rasul Melayu dihukum penjara 10 tahun

21/10/2009 1:35pm

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad, 59, dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam kali sebatan serta denda RM16,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Beliau dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas lima tuduhan membabitkan penyebaran ajaran sesat yang diasaskannya.

Hakim, Abu Zaky Mohammad turut memerintahkan Abdul Kahar, ditahan di Pusat Pemulihan Akidah Baitul Iman pada enam bulan terakhir hukuman penjara tersebut.

Hukuman penjara itu diarahkan berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 16 September lalu. - Utusan


BERITA 2

JAIS tahan anak lelaki “Rasul Melayu"

21/10/2009 8:25pm

SHAH ALAM 21 Okt. — Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menahan anak lelaki “Rasul Melayu”, Abdul Kahar Ahmad bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyebaran ajaran sesat yang dibawa bapanya melalui internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Lelaki berumur 30-an itu ditahan pihak penguatkuasa JAIS di perkarangan mahkamah, kira-kira pukul 1.30 tengah hari, ketika cuba melarikan diri selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini selesai menjatuhkan hukuman ke atas Abdul Kahar.

Suspek sebelum itu didakwa berlagak sebagai wartawan yang sedang membuat liputan kes berkenaan bagi mengaburi pihak penguatkuasa Jais yang berada di sekitar kawasan mahkamah.

Bagaimanapun setelah menyedari tindak-tanduknya diperhatikan, lelaki terbabit cuba meninggalkan bangunan mahkamah tetapi kemudian berjaya ditahan pihak penguatkuasa agama itu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi ketika mengesahkan penahanan lelaki itu berkata, pihaknya sudah lama mengekori anak lelaki Abdul Kahar itu dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk menahannya. - Bernama


BERITA 3

Anak lelaki Abdul Kahar diberkas kerana sebar ajaran sesat

SHAH ALAM 21 Okt. – Anak lelaki ‘Rasul Melayu’ yang dikehendaki oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana dipercayai masih aktif menyebarkan ajaran sesat bapanya menerusi internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) diberkas di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Zulhilmi Abdul Kahar, 30-an, diberkas pasukan penguat kuasa JAIS sejurus selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini, menjatuhkan hukuman terhadap bapanya, Abdul Kahar Ahmad, 59.

Sebelum diberkas, Zulhilmi dikatakan menyamar sebagai petugas media dengan memakai tag nama kakitangan sebuah stesen televisyen swasta bagi mengaburi pihak penguat kuasa JAIS yang berada di sekitar kawasan mahkamah tersebut.

Bagaimanapun pihak JAIS telah mengesan kehadirannya sejak dia tiba di mahkamah dan Zulhilmi yang menyedari tindak-tanduknya diperhatikan cuba melarikan diri.

Namun usahanya gagal apabila dia berjaya diberkas pihak penguat kuasa agama itu di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 1.30 petang.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi ketika dihubungi lewat petang ini mengesahkan penahanan Zulhilmi dan memberitahu pihaknya sudah lama mengekori anak lelaki ‘Rasul Melayu’ itu serta hanya menunggu masa untuk memberkasnya.

Beliau berkata, Zulhilmi juga dipercayai masih aktif menyebarkan ajaran bapanya dan lelaki itu telah menulis satu SMS yang tertera perkataan, ‘JAIS berhala’.

“JAIS mempunyai kuasa untuk menahan Zulhilmi dalam tempoh 24 jam dan kita akan membawanya ke Mahkamah Tinggi Syariah esok bagi urusan pendakwaan,” kata beliau.

Bapa Zulhilmi, Abdul Kahar hari ini dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, denda sebanyak RM16,500 dan sebatan enam kali di mahkamah hari ini selepas dia mengaku bersalah mengisytiharkan dirinya sebagai rasul orang Melayu zaman ini.


BERITA 4 [Mutakhir]

‘Rasul Melayu’ dipenjara 10 tahun


Abdul Kahar Ahmad


SHAH ALAM 21 Okt. – Lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad dihukum penjara 10 tahun dan sebatan enam kali serta denda RM16,500 selepas mengaku bersalah atas lima tuduhan berhubung penyebaran ajaran sesat yang diasaskannya, empat tahun lalu.

Hakim Abu Zaky Mohammad memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh Abdul Kahar, 59, ditangkap pada 16 September lalu. Dia turut diperintah dihantar ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam dekat sini untuk tempoh enam bulan terakhir daripada hukuman tersebut.

Hakim tersebut memerintahkan hukuman:

Penjara tiga tahun dan sebatan enam kali bagi tuduhan menyebarkan doktrin palsu mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor (EJSNS) 1995.

*Penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau penjara setahun bagi tuduhan mempersendakan ajaran Islam mengikut Seksyen 10 EJSNS.

*Penjara setahun dan denda RM3,000 atau penjara setahun bagi kesalahan menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari dan melanggar arahan mufti mengikut Seksyen 12 EJSNS.

*Penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau penjara setahun atas kesalahan mengaku sebagai rasul.

*Penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau penjara setahun bagi kesalahan mengisytiharkan diri sebagai Rasul orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam mengikut Seksyen 8(a) EJSNS.

Dalam penghakiman setebal 55 muka surat yang dibaca hampir dua jam itu, Abu Zaky menyifatkan kesalahan yang dilakukan oleh Abdul Kahar amat serius serta mengancam keselamatan agama, bangsa dan negara.

‘‘Persoalan membabitkan akidah adalah persoalan pokok yang membezakan antara iman dan kufur serta syurga dan neraka. Dalam kes ini, ia bukan sahaja melibatkan tertuduh, malah turut menjerumuskan masyarakat dalam ajaran yang bertentangan dengan Islam,’’ katanya.

Beliau berkata, pengakuan taubat Abdul Kahar juga menimbulkan keraguan kerana hanya dibuat selepas dia ditahan selain peguam tidak membuktikan bahawa ia benar-benar ditulis oleh tertuduh tanpa sebarang paksaan.

Jelas beliau, taubat nasuha bukan sekadar kata-kata, tetapi ia juga perlu diikuti dengan niat dan perbuatan seperti solat taubat, beristighfar serta tidak mengulangi kesalahan berkenaan.

Semasa menyebut nama Rasulullah SAW, beliau sempat bertanya Abdul Kahar sama ada tertuduh percaya kepada nabi dan menyuruh tertuduh berselawat. Sambil berdiri Abdul Kahar mengaku dia percaya dan melafazkan selawat.

Abu Zaky turut menolak alasan Abdul Kahar bahawa dia seorang yang jahil serta tidak bersekolah tinggi kerana katanya negara kita mempunyai masjid dan imam yang mencukupi untuk membolehkan seseorang belajar ilmu agama.

Beliau turut memberi penjelasan panjang lebar tentang hukuman sebat syariah bagi membetulkan salah faham di kalangan masyarakat selain untuk menerangkan perbezaannya dengan sebatan sivil.

Hukuman terhadap Abdul Kahar disambut dengan tangisan oleh anak-anaknya yang turut berada di galeri awam. Dia dilihat memeluk mereka sebelum dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Abdul Kahar pertama kali didakwa atas lima pertuduhan pada 2005. Semua kesalahan itu dilakukan antara 2 dan 19 Jun 2005 di No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Ulu Klang dekat sini.

Bagaimanapun tertuduh gagal hadir ke mahkamah sejak 2006 sehingga waran tangkap dikeluarkan selain ganjaran ditawarkan kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya.

Selepas lebih tiga tahun menghilangkan diri, Abdul Kahar berjaya ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika sedang menonton televisyen di rumah sewanya di Sungai Long, Hulu Langat, Kajang, pukul 9.45 pagi pada 16 September lalu.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abd. Hamid dan dua pegawai pendakwa syarie, Muhammad Nazri Basrawi dan Zusyarafain Md. Yusof.

Tertuduh diwakili peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif dan Ridzuan Husin yang menyebut bagi pihak peguam syarie Zulkifli Che Yong dan Azmi Rais.

____________________________________________________________________

Semoga menjadi pengajaran untuk semua...

 0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home