Sabtu, 20 Jun 2009

Taqwa & Tawakkal dalam hidup beragama....

Assalamualaikum wtb...

Bertemu kembali.

Ayat di atas dipetik daripada surah At-tolaaq, ayat 2-3. Ramai orang menyebutnya 'ayat seribu dinar'. Mungkin ya, mungkin tidak. Bergantung kepada niat dan pemahaman sebenar berkaitan ayat ALLAH SWT yang sangat bermakna ini.

Yang silapnya, ramai orang awam yang percaya bila 'mengamalkan' ayat ini maka akan jadi kaya, harta senang dapat, perniagaan laris, malah ada yang mendakwa boleh menundukkan hati seseorang yang kita ingini...

Jelasnya, kalau dengan pemahaman semata-mata seperti itu maka jawabnya salah dan khilaf. Arahan & matlamat yang ALLAH SWT bawakan kepada kita melalui ayat tersebut bukan kepada harta yang menimbun, emas yang berkilau, aset itu ini dan sebagainya. Namun, kita tidak katakan tiada langsung. Cuma itu semua adalah hasil sampingan dan manifestasi kepada tuntutan sebenar yang tertera.

ALLAH SWT bagi alamat bahawa boleh dan adalah berhak kita dapat habuan material itu semua tetapi dengan syarat TAQWA, TAWAKKAL & IMAN itu sendiri. Kalau syarat ini semua tiada maka tidaklah dapat apa yang kita impi-impikan itu. Sekurang-kurangnya 3 perkara itu kita perlu usahakan atas dasar iman & bukan kerana material - baharulah ganjaran menyusul.

Sebenarnya rezeki yang ALLAH SWT aturkan kepada manusia & makhlukNYA yang lain tidak boleh diertikan semata-mata kepada benda. Tambahan pula rezeki yang kita idam-idamkan tentu tidak identik dengan yang seharusnya dibekalkan oleh ALLAH SWT. Rezeki boleh saja dalam bentuk kesihatan badan, kecerdasan akal, keturunan yang soleh solehah, harta yang barakah, kurangnya masalah sulit dalam kehidupan, hati yang tenang dan lain sebagainya.

Oleh itu, marilah kita berTAQWA dengan sesungguhnya kepada ALLAH SWT. Kita pasakkan TAWAKKAL yang sebenar kepada ALLAH SWT dalam semua kerja & amal. Dan kita letakkan keyakinan yang tertinggi kepada segala Qadha & Qadar ALLAH SWT.

Marilah kita disiplinkan diri dalam hal-hal ubudiyyah dan mu'amalah yang sesungguhnya. Murnikanlah pemahaman kita terhadap segala isi / hujjah agama kita. Mudah-mudahan kita terhindar dari hal-hal yang terseleweng dari nilai & prinsip agama dan semoga nanti kita selamat daripada fitnah kesalahfahaman beragama.

Wallahu a'lam

 0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home